HAFIZH Syahrin (dua dari kanan) pamer aksi mantap sekali gus rampas kembali kedudukan dalam carta muka baharu MotoGP. -Foto AFP
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menunjukkan dirinya mampu mencapai tahap konsisten dalam setiap keputusan diraihnya pada tahun pertama beraksi di kelas perdana itu.

Selain di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat dan Sepanyol, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu sudah melakar empat penamat di dalam kelompok 15 terbaik dan di Mugello, Itali semalam, dia berjaya menamatkan saingan di tangga ke-12.

Kejayaannya di GP Itali itu secara tidak langsung membenarkan Hafizh kembali merampas kedudukan dalam carta muka baharu MotoGP daripada pencabar terdekatnya, Franco Morbidelli dengan 17 mata.

Prinsipal pasukan Tech3, Herve Poncharal jelas gembira dengan peningkatan yang dilakukan Hafizh setakat enam pusingan musim ini.

“Saya fikir Hafizh sudah melakukan tugas dengan begitu baik sekali,” kata Poncharal.

“Dia sangat pantas pada setiap hari dan tidak pernah menyerah kalah.

“Seperti biasa, dia sentiasa merendah diri dan mampu menamatkan saingan di tangga ke-12, sekali lagi muncul sebagai pelumba muka baharu terbaik dalam perlumbaan selain kembali berada di puncak kejuaraan muka baharu,”.

“Kami berbangga dengannya. Cara dia memintas (Tito) Rabat sangat mengagumkan, apatah lagi kami tahu betapa kurangnya kami daripada sudut kelajuan sekiranya hendak dibandingkan dengan Ducati.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepadanya dan keseluruhan pasukan #55 (nombor Hafizh) kerana dia melakukannya di luar perhatian media. Kami berusaha, akan terus melakukan peningkatan dan Hafizh adalah menjadi pelumba MotoGP yang lebih kuat selepas ini.”

Dalam saingan Moto3, Adam Norrodin yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Racing terkeluar daripada perlumbaan selepas terbabas.

Ini adalah kali ketiga dia terkeluar daripada saingan bagi musim ini dan menyatakan kekecewaannya kerana mensia-siakan peluang bermula dari petak kelapan.

Pelumba SIC Racing, Niki Tuuli yang beraksi untuk kali kedua sejak menggantikan Zulfahmi Khairuddin menamatkan saingan di tangga ke-17 dalam kelas Moto2.

Pusingan ketujuh selepas ini dijadual berlangsung di Catalunya, Sepanyol dari 15 hingga 17 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 5:42 PM