RAJAGOBAL akui aksi longlai anak buahnya jadi punca kekalahan di tangan Negeri Sembilan. -Foto fail
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


KETUA jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal mengaku anak buahnya tidak mempamer persembahan sebenar dan faktor itu menyumbang kepada kekalahan 1-3 di tangan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

“Mereka tidak tunjukkan kualiti yang sepatutnya seperti dipamerkan dalam perlawanan lain sebelum ini.

“Berlaku banyak kesilapan dan pergerakan pemain juga tidak seperti biasa sekali gus membolehkan tuan rumah mengambil kesempatan menjaringkan dua gol.

“Pemain lawan memberikan persembahan lebih bertenaga serta tersusun. Walaupun kita cuba bangkit terutama pada separuh masa kedua, tetapi jaringan ketiga Negeri Sembilan membunuh semangat pemain. Walaupun kita berjaya merapatkan jurang tetapi ia sudah terlewat,” kata Rajagobal.

Kekalahan PKNS itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan pasukan itu dalam carta liga apabila kekal di tangga keenam dengan 19 mata.

Mengulas mengenai jaringan penalti kedua yang diperoleh Negeri Sembilan, bekas pengendali kebangsaan itu berkata, beliau tidak mahu mempertikaikannya kerana pengadil melihat lebih jelas dan sudah membuat keputusan.

Namun, beliau mengaku dua penalti yang diperoleh skuad Hobin Jang Hobin ternyata memberi kesan kepada persembahan pemain PKNS.

“Kita tidak boleh mempertikaikannya (penalti) kerana hakikatnya pemain saya gagal mengeluarkan bola dari kawasan itu. Pemain saya tidak beraksi cemerlang dan tahniah kepada Negeri Sembilan dan sememangnya mereka layak menang,” katanya.

Mengulas lanjut tentang kebangkitan anak buah Mario Lemos itu, Rajagopal berkata pemain skuad Rusa pastinya sudah mendapat motivasi tinggi hasil kemenangan ke atas anak buahnya.

“Mereka (NS) sudah ada motivasi tinggi untuk teruskan rentak cemerlang pada aksi akan datang, lagipun mereka sedar perlu mengambil kira kedudukan dalam carta liga ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 4:08 PM