PEMAIN pasukan Sabah Maxius Musa melakukan rembatan pada perlawanan Liga Perdana di antara Sabah menentang UKM FC di Stadium Likas, malam ini. Foto Lano Lan
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


BADI tanpa kemenangan Sabah berterusan kepada tujuh perlawanan berturut-turut selepas kecundang 1-3 kepada UKM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Tuan rumah dikejutkan seawal 30 saat permainan selepas Wan Mohd Faiz Wan Sulaiman melakukan penyudah baik hasil hantaran ketua pasukan Asnan Ahmad bagi menjadikan kedudukan UKM FC mendahului 1-0.

Sabah kemudian memiliki peluang baik pada minit ke-8, namun cubaan Rahman Shah Marajeh yang tidak dikawal di dalam kotak penalti, tinggi melepasi palang gol.

Pada minit ke-14, Sabah berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Hector Omar Ramos selepas mendapat hantaran daripada Maxsius Musa bagi menjadikan kedudukan 1-1.

UKM FC hampir memperolehi gol kedua pada minit ke-31 menerusi tandukan Faiz Hanif Adnan, bagaimanapun ianya sekadar menggegarkan palang gol Sabah.

Tiga minit kemudian, penyerang import UKM FC, Michael Chukwubunna Ijezie sekali lagi menggamamkan penyokong tuan rumah apabila tandukannya menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Di minit terakhir separuh masa pertama, Sabah berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun cubaan Ummareng Bachok diselamatkan penjaga gol UKM FC, Muhamad Nur Haziq Mohd Aris.

Bermula babak kedua, Sabah lebih menguasai perlawanan dan melakukan banyak serangan, namun gagal diterjemah kepada jaringan.

Pada minit ke-68, tuan rumah memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Ramos hasil hantaran Keisuke Ogawa tersasar di sebelah kanan pintu gol UKM FC.

Pasukan pelawat kemudian menghukum kelalaian barisan pertahanan Sabah apabila memperolehi gol ketiga pada masa tambahan menerusi rembatan Sein Nam dari dalam kotak penalti dan kedudukan 3-1 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 11:38 PM