BEKAS pemain tengah England, Frank Lampard sah kemudi Derby County. FOTO AFP
AFP

BEKAS pemain tengah England, Frank Lampard membuat langkah pertama dalam arena kejurulatihan apabila menjadi pengurus Derby County, umum kelab Liga Kejuaraan itu, hari ini.

Lampard, 39, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab divisyen dua England itu selepas menggantung but pada 2016.

Derby sedang mencari pengurus baharu sejak Gary Rowett meletakkan jawatan kerana ingin menguruskan Stoke.

“Ini adalah kerja pertama saya sebagai pengurus, tetapi saya bekerja rapat dengan beberapa pengurus terbaik dalam arena ini dan saya yakin dengan kemampuan saya dan orang di sekitar saya di pasukan ini termasuk lembaga pengarah,” kata Lampard.

“Saya tahu ia tidak akan mudah, menguruskan pasukan bola sepak tidak pernah mudah tetapi saya teruja dengan cabaran di depan saya.

“Saya sentiasa mahu menguruskan kelab dengan tradisi dan sejarah yang besar seperti Derby County, jadi ini adalah peluang yang besar.”

Rowett mengemudi Derby untuk beraksi di kancah playoff musim ini tetapi dikecewakan Fulham di peringkat separuh akhir sekali pun menang aksi pertama timbal balik.

Lampard berkata sasarannya adalah membawa Derby ke EPL buat pertama kali sejak 2008 yang menyaksikan kelab itu menamatkan saingan di kedudukan tercorot.

“Kami ingin membina kembali pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan enam terbaik di Liga Kejuaraan musim lalu dengan membawa beberapa pemain akademi berbakat yang kami miliki di Pride Park,” kata Lampard.

Selepas memulakan kariernya di West Ham, Lampard menyertai Chelsea dan menghabiskan 13 tahun di Stamford Bridge dan kekal sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 211 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:45 AM