PEMAIN Perak, Amirul Azhan Aznan (kanan) cuba melepasi pemain PKNP, Mohamad Hafiz Ramdan di Stadium Stadium Perak. FOTO/EFFENDY RASHID
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my

JARINGAN penalti Gilmar Da Silva pada minit akhir perlawanan membantu Perak menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 4-3 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Ketika perlawanan tampak berakhir seri 3-3, Perak dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan lawan melakukan kekasaran dalam kotak penalti.

Gilmar tenang merembat melepasi Mohd Asyraaf Omar untuk menjulang pasukannya. Dengan kemenangan itu Perak merampas kembali kedudukan di tangga kedua dengan 24 mata.

Sebelum itu PKNP FC tampak menuju kemenangan apabila mendahului 3-1 sehingga minit ke-68.

Bagaimanapun Perak melakar kebangkitan dramatik dalam 20 minit baki saingan untuk memadam kelebihan anak buah Abu Bakar Fadzim.

Mohd Nor Hakim Hassan meletak tuan rumah di hadapan apabila merembat melepasi penjaga gol Ahmad Asyraf Omar pada minit kelapan tetapi Clovis Franklin Anzite kembali menyamakan kedudukan untuk PKNP FC pada minit ke-33.

Babak kedua menyaksikan keghairahan Perak melancarkan serangan diperangkap dengan serangan balas pelawat yang menjaringkan gol menerusi Mohamad Syamin Baharuddin (m-60) dan Norhakim Isa (68).

Jaringan kapten Nasir Basharuddin pada minit ke-76 menghidupkan kembali semangat Perak dan Wander Luiz mengikat kedudukan kepada 3-3 pada minit ke-86 sebelum jaringan penalti akhir permainan oleh Gilmar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 1:05 AM