GUERRERO (kanan) harap penggantungannya dapat dibatalkan untuk beraksi di Piala Dunia. -Foto Reuters
Reuters

KAPTEN Peru yang juga penjaring terbanyak mereka, Paolo Guerrero sudah memohon mahkamah tertinggi Switzerland untuk membatalkan penggantungan membabitkan penggunaan dadah yang akan mengetepikannya dari aksi Piala Dunia, kata Persekutuan Bolasepak Peru.

Guerrero baru saja melengkapkan penggantungan enam bulan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati positif menggunakan kokain selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memanjangkan lagi tempoh penggantungan itu sekali gus menyaksikan dia bakal terlepas aksi Piala Dunia.

Guerrero menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan kokain.

Badan persekutuan pemain antarabangsa, FIFPro dan kapten setiap pasukan yang bakal bertemu Peru dalam saingan kumpulan turut mengemukakan rayuan kepada FIFA bagi membatalkan penggantungan itu.

Guerrero memfailkan rayuan kepada Tribunal Persekutuan Switzerland dengan sokongan bertulis daripada ketua Persekutuan Bolasepak Peru, Edwin Oviedo.

“Dia adalah kapten pasukan Peru dan juga simbol harapan untuk seluruh negara ini,” kata Oviedo menerusi akuan bersumpahnya kepada mahkamah.

“Saya merayu supaya perkara ini dipertimbangkan bukan saja untuk Paolo malah untuk seluruh rakyat Peru.”

Guerrero menyatakan bahan berkaitan kokain, benzoylecgonine yang ditemui dalam badannya adalah susulan pengambilan minuman herba yang dicemari dengan daun koka, bahan dalam kokain yang sering digunakan sebagai ubatan tradisional di Amerika Selatan.

FIFPro dan kapten pasukan Australia, Denmark dan Perancis turut menegaskan bahawa CAS sendiri mengetahui di mana Guerrero mengambil bahan terbabit tanpa sedar dan bukan untuk mendapat kelebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:10 AM