SALAH (kanan) ketika sesi latihan. FOTO/AFP
AFP

KIEV: Bintang Liverpool, Mohamed Salah mengakui ia akan menjadi “satu impian” untuk melengkapkan penampilan pertama penuh sensasi di Anfield dengan menamatkan dominasi Real Madrid di Eropah pada final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini.

Bagaimanapun Salah berkata dia gembira jika Roberto Firmino atau Sadio Mane mencipta gol yang boleh membawa skuad Reds meraih mahkota Eropah keenam.

Salah sudah memenangi beberapa siri anugerah individu ketika dia menyumbang 44 daripada 90 gol dijaringkan tiga penyerang Liverpool musim ini.

Namun jaringan itu dikongsi sama rata pada Liga Juara-Juara.

“Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol,” kata Salah kepada UEFA.com.

“Menang perlawanan, mendapatkan mata, itu paling penting buat kami kerana jika anda lihat, saya menjaringkan 10 gol dalam Liga Juara-Juara, Sadio sembilan, Firmino 10, jadi semua kami seakan sama.

“Tiada seorangpun antara kami tamak atau mahu menjaringkan lebih banyak gol. Kami cuba membantu satu sama lain untuk mendapatkan gol.”

Pemain Mesir itu yang melalui musim mengecewakan di Chelsea, menampilkan persembahan terbaik sejak kembali ke England musim panas lalu dari Roma.

Persembahannya membuatkan pertembungan awal pagi Ahad ini di Kiev dilabelkan sebagai penentu Ballon d’Or berdepan pemenang lima kali Pemain Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo.

Dan dia menekankan kepentingan mengekalkan persembahan baik itu untuk beberapa tahun akan datang untuk menyamai apa dilakukan Ronaldo atau bintang Barcelona, Lionel Messi.

 

“Perkara paling penting ialah mengekalkan tahap itu, terus melakukan apa yang saya sudah lakukan untuk musim depan,” katanya.

“Saya percaya (ia boleh dilakukan). Saya berada di Roma selama dua tahun, melalui dua musim yang hebat di sana dan semua orang memberitahu saya untuk kekal, tetapi saya mahu ke sini dan berjaya di England.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 11:26 PM