HAFIZH sesuaikan diri dengan Litar Catalunya. FOTO/HAFIZH
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah mengambil peluang menyesuaikan diri dengan permukaan baru di Litar Catalunya ketika ujian tidak rasmi sejak Selasa lalu.

Hafizh menamatkan ujian tiga hari itu di tangga ke-16 daripada 20 pelumba yang mengambil bahagian dengan mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 40.435 saat, ketinggalan 0.274s daripada kelompok 10 terbaik.

Rakan sepasukannya, Johann Zarco muncul kedua terpantas bagi sesi berkenaan dengan 1:39.251s.

Ketika Grand Prix Catalunya berbaki tiga minggu lagi, ia boleh dianggap satu keputusan positif buat Hafizh yang juga menguji tayar baru Michelin.

Hafizh yang mengalami kecederaan ringan ketika sesi ujian itu berkata, dia gembira dengan penambahbaikan ke atas litar itu selain prestasi keseluruhannya.

“Berbanding tahun lalu, permukaan baru ini satu langkah yang besar (lebih baik) dan saya gembira dengannya. Ini kali pertama saya menunggang motosikal GP di litar ini dan saya sudah meraih keyakinan,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

“Kami cuba melakukan beberapa pelarasan ke atas jentera, saya sekali lagi cuba mempertingkatkan corak tunggangan dan kami sudah berada di depan.

“Kami mempunyai kelajuan yang bagus, terutamanya untuk kembali ke litar ini dalam tempoh tiga minggu lagi dan saya sudah bersedia untuk perlumbaan seterusnya (di Mugello).”

Saingan musim 2018 selepas ini diteruskan dengan GP Itali dari 1 hingga 3 Jun depan dan kembali ke Barcelona bagi GP Catalunya dari 15 hingga 17 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 8:34 PM