WIJNALDUM (tengah) yakin Liverpool mampu julang gelaran Liga Juara-Juara. -Foto Reuters
Reuters

MENJULANG Liverpool memenangi trofi Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine melengkapkan impian Georginio Wijnaldum sejak dia menyertai kelab berkenaan, dua tahun lalu.

Liverpool akan menentang penyandang juara, Real Madrid pada awal pagi Ahad ini dengan pemain tengah Belanda, Wijnaldum mengakui tidak sabar untuk melakar namanya selaku antara pemenang kejohanan elit Eropah itu.

“Memang benar, apabila saya datang ke sini saya bermimpi perkara seperti ini,” kata Wijnaldum yang berpindah ke Liverpool dari Newcastle United pada 2016.

“Apabila saya datang, saya mahu membantu kelab ini memenangi lebih banyak trofi daripada apa yang pernah mereka miliki.”

Tiada seorang pun pemain dalam skuad The Reds ketika ini pernah merasai pengalaman berada di pentas final Liga Juara-Juara sebelum ini.

Justeru, pemain berusia 27 tahun itu sedar kemenangan di Kiev hanya menjadi sebahagian kecil kejayaan yang pernah dicapai legenda-legenda kelab itu sebelum ini.

“Ada pemain di sini yang memenangi banyak kejuaraan, mereka adalah legenda. Jika kamu mengaitkan Kenny Dalglish, saya tidak fikir satu gelaran Liga Juara-Juara sudah cukup untuk meletakkan kamu sebaris dengannya,” kata Wijnaldum.

“Kamu perlu mengharungi lebih banyak lagi perlawanan, menang lebih banyak trofi dan kemudian baru kamu boleh diiktiraf legenda yang besar.

“Sudah tentu jika kamu menang Liga Juara-Juara, ia satu sejarah. Berapa ramai pemain yang boleh berkata mereka memenangi Liga Juara-Juara? Tidak ramai.”

Wijnaldum sudah bermain dalam 11 perlawanan Liga Juara-Juara untuk Liverpool musim ini dan kepelbagaiannya beraksi di bahagian tengah dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih, Juergen Klopp.

Pertembungan final di Stadium Olimpik Kiev akan mengulangi aksi final 1981 di Paris, Perancis yang menyaksikan Liverpool mencatat kemenangan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 8:02 AM