AMSYAR (kiri) dan Tze Liang. FOTO Arkib NSTP
Jugjet Singh
jugjet@nstp.com.my


PENERJUN Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang kini bertukar jurulatih dalam usaha mempamerkan aksi lebih baik dalam sukan itu.

Kedua-dua penerjun Olimpik Rio 2017 itu sebelum ini dikendalikan jurulatih Australia Christian Brooker sebelum membuat permintaan berlatih di bawah kendalian Li Teng sehinggalah Sukan Asia Indonesia bersama-sama penerjun muda Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya.

Li Teng, bekas pemenang pingat perak remaja dunia dalam acara 10m platform seirama, salah seorang daripada dua jurulatih China dipertanggungjawabkan terhadap skuad terjun negara.

Zhang Yukun adalah pemangku ketua jurulatih, manakala Brooker tiba pada Januari bagi menggantikan jurulatih sebelumnya Yang Zhuliang.

Di bawah kendalian Brooker, penerjun lelaki gagal memenangi pingat Sukan Komanwel buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun di Gold Coast, Australia, bulan lalu.

Prestasi mereka jauh lebih baik ketika Zhuliang menjadi ketua jurulatih apabila Tze Liang menjuarai acara 3m papan anjal individu di Glasgow 2014.

Setiausaha Agung ASUM Mae Chen berkata Amsyar dan Tze Liang membuat permintaan untuk mencuba jurulatih berbeza.

“Pertukaran itu dibuat bukan kerana Brooker seorang jurulatih yang tidak bagus,” kata Mae.

“Tze Liang lebih selesa dengan kaedah kejurulatihan China manakala Amsyar mahukan terjunan lebih stabil. Pertukaran ini berkuat kuasa sehinggalah Sukan Asia.

“Akan ada reviu selepas Sukan Asia dan penerjun boleh datang dan berbincang dengan kami jika mereka mahukan perubahan.

“Pada masa sama Zhang Yukun akan mengendalikan penerjun wanita dalam Program Podium.

“Chew Yiwei dan penerjun wanita lain seperti Jasmine Lai, Kimberly Bong dan Loh Zhiayi masih di bawah kendalian Brooker.

“Ketiga-tiga jurulatih bekerjasama dan akan ke Piala Dunia Fina di Wuhan bulan depan,” kata Mae.

Penerjun wanita di bawah Program Podium adalah Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 9:18 PM