TRENT ALEXANDER-ARNOLD
AFP

PADA usia 19 tahun, pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold bakal memikul tugasan menggunung untuk menghalang Pemain Terbaik Dunia lima kali di Real Madrid, Cristiano Ronaldo pada final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini di Kiev, Ukraine.

Begitupun, pemain pertahanan kanan The Reds itu enggan tunduk dengan tekanan dan percaya dia mampu mengeksploitasi apa yang disifatkan sebagai kelemahan Ronaldo.

Ia sudah pun menjadi musim yang menakjubkan buat Alexander-Arnold tahun ini selepas turut disenarai dalam skuad England ke Piala Dunia sekali pun masih belum memiliki penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Begitupun, dia hanya sebahagian daripada cerita kejayaan yang dilakar Jurgen Klopp sepanjang era pengurusannya dalam usaha menamatkan kemarau 11 tahun Liverpool melangkah ke final.

Ketika Real meletakkan sasaran menjuarai gelaran keempat Eropah dalam tempoh lima musim, Ronaldo pula memburu gelaran kelima Liga Juara-Juara selepas turut menjulangnya di Manchester United pada 2008.

Begitupun di sebalik kelas tersendiri penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dan digelar “salah seorang pemain terbaik”, Alexander-Arnold masih yakin bintang Portugal itu boleh ‘ditewaskan’ dengan pertahanan Liverpool yang semakin baik.

“Ia jelas,” katanya ketika ditanya sama ada berdepan Ronaldo sebagai cabaran terbesar dalam kariernya. “Dia salah seorang pemain terbaik.

“Dia melakukan perkara yang menakjubkan dalam perlawanan, tetapi dia juga mempunyai kelemahan, semua pemain memilikinya.

“Pada Sabtu (awal pagi Ahad), kami akan cuba untuk mengeksploitasi dan menghalangnya daripada melakukan apa yang paling dia gemar lakukan, iaitu menjaringkan gol.”

Lahir di West Derby, Alexander-Arnold yang bermula di akademi Liverpool berterima kasih terhadap Klopp dan menegaskan tidak akan terganggu dengan fakta dia akan ke Russia bersama England menjelang aksi final di Kiev.

“Ia bergantung kepada rakan sepasukan dan semua orang yang membantu saya menjadi lebih baik, pengurus, semua orang di lapangan yang membantu saya.

“Kami semua bergerak ke depan sebagai kumpulan dan menjadi lebih baik pada setiap musim. Ia akan menjadi perkara yang mengujakan bagi beberapa minggu selepas ini tetapi fokusnya adalah pada Sabtu (awal pagi Ahad),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 8:42 AM