PEMAIN Melaka United Jeon Woo Young Jeon (kiri) diasak pemain PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi. FOTO Zuhairi Zuber
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


MELAKA United (MU) sekadar seri 1-1 berdepan PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Selepas terikat 0-0 dengan Perak pada aksi terakhir sebelum ini, skuad bimbingan jurulatih E Elavarasan berusaha keras meraih mata maksimum di gelanggang sendiri.

Jaringan MU dihasilkan menerusi sepakan percuma Jeon Woo Young pada minit ke-15 sekali gus menceriakan kira-kira 2,000 penyokong setia yang dahagakan kemenangan skuad terbabit selepas lima perlawanan.

Ia secara tidak langsung memberikan keyakinan tinggi buat skuad Hang Tuah untuk memburu lebih banyak gol, namun pelawat bangkit menggandakan asakan.

Malah, anak buah jurulatih Datuk K Rajagobal memiliiki peluang menghasilkan jaringan pada minit ke-34, namun sepakan kencang Jafri Firdaus Chew sekadar tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Jafri sekali lagi mencipta peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke- 41, namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan penjaga gol MU Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, seminit selepas itu Jafri tidak mempersiakan peluang menerusi rembatan kencangnya untuk menghadiahkan jaringan penyamaan sekali gus menewaskan Khairul Fahmi.

Babak kedua menyaksikan The Red Ants cuba mengawal rentak permainan, namun MU lebih awal mencuri peluang jaringan pada minit ke- 62, namun hantaran Yahor Zubovich gagal disambut S Chanturu bagi meletakkan skuad Hang Tuah di depan.

Tuan rumah juga gagal mengambil kesempatan meraih kemenangan apabila PKNS beraksi dengan 10 pemain selepas Daniel Sang Ting dilayangkan kad merah.

Keputusan terbabit menyaksikan MU gagal mengutip kemenangan pertama selepas enam perlawanan.

Kehadiran Presiden baharu Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari bagaimanapun tetap menyuntik semangat pemain skuad tuan rumah beraksi lebih baik pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 12:49 AM