NEMANJA MATIC
AFP

NEMANJA Matic berkata Manchester United mampu berjuang untuk merebut gelaran dan Liga Juara-Juara jika mereka membeli pemain yang betul pada jendela perpindahan selepas kekalahan kepaada Chelsea pada final Piala FA yang menyaksikan kelab itu gagal meraih sebarang gelaran musim ini.

Anak buah Jose Mourinho tewas 0-1 di Wembley di tangan bekas kelab Matic, di mana penalti separuh masa pertama Eden Hazard sudah cukup memastikan kemenangan mereka.

Kekalahan itu bermakna Jose Mourinho gagal menambah sebarang trofi selepas menjulang Piala Liga dan Liga Europa pada musim pertamanya di Old Trafford.

United menduduki tangga kedua di Liga Perdana Inggeris, kedudukan terbaik kelab itu sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, namun mereka ketinggalan 19 mata berbanding pasukan tetangga Manchester City.

Mourinho mendapat sokongan penuh kelab itu sejak ketibaannya dengan membawa masuk pemain seperti Paul Pogba, Eric Bailly, Romelu Lukaku dan Matic dengan bayaran tinggi sementara Zlatan Ibrahimovic dan Alexis Sanchez dibawa masuk dengan kontrak hebat.

Namun Matic percaya United perlukan lebih daripada itu jika mahu bertanding di peringkat domestik dan Eropah musim depan.

“Saya fikir kami perlukan beberapa pemain berpengalaman untuk membawa kualiti terhadap pasukan,” kata Matic selepas kekalahan kepada skuad Antonio Conte.

Selepas itu kami boleh berjuang merebut gelaran dan Liga Juara-Juara. Saya fikir kami sudah menunjukkan peningkatan. Seperti yang anda tahu, tahun lalu United di tangga keenam dan sebelum itu kelima.

“Jadi kedudukan kami semakin baik, kami di tangga kedua. Satu-satunya pasukan yang lebih baik berbanding kami tahun ini adalah Manchester City, permainan bola sepak mereka menarik.

“Namun kami berada di tangga kedua dan akan beraksi di Liga Juara-Juara tahun depan, ia amat penting.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:28 PM