POGBA masih ragu dengan masa depannya di Manchester. FOTO/AFP
Agensi

MANCHESTER: Paul Pogba tidak menolak kemungkinan akan berhijrah dari Manchester United musim panas ini namun berkata, dia tidak akan menyertai Paris Saint-Germain.

Masa depan Pogba di Old Trafford berdepan keraguan di sebalik kebimbangan hubungannya dengan Jose Mourinho. 

Pemain dengan rekod pembelian United itu diletakkan di bangku simpanan dan dikeluarkan dalam beberapa perlawanan pada musim mengecewakan kelab itu.

Pemain Perancis itu yang sekali lagi bermain di bawah kemampuan sebenar ketika United tewas kepada Chelsea pada final Piala FA di Wembley, mengakui dia berdepan sedikit isu 'mental' mengenai hubungannya dengan Mourinho.

Bercakap kepada TV Perancis, Canal+ semalam, dia tidak memberi jaminan masih bergelar pemain United musim depan.

“Anda tidak pernah pasti mengenai apapun,” katanya. “Secara kontrak, benar.”

Mengenai Mourinho, katanya: “Ada ketika apabila saya tidak bermain. Saya berada di bangku simpanan. Banyak yang diperkatakan.

“Orang merasakan ia salah tetapi jurulatih dan pemain tidak perlu menjadi kawan baik. Seseorang tidak boleh dipaksa ke restoran bersama-sama. Saya ada sedikit masalah, ia mental.

“Dia letak saya di bangku simpanan, saya membalasnya di padang, saya memberikan maksimum setiap kali diturunkan. Ia membentuk kepimpinan saya.

“Saya diberikan lilitan kapten dengan Mourinho, ia kali pertama bersama kelab. Ia penting buat saya, ia membuatkan saya meningkat sebagai pemimpin dalam pasukan Perancis.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 11:58 AM