COURTOIS (kanan) percaya Chelsea perlu tingkatkan keupayaan pasukan untuk terus mencabar kejuaraan. -Foto AFP
AFP

PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois percaya juara Piala FA itu perlu berbelanja besar jika mahu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Penalti Eden Hazard pada minit ke-22 menyaksikan Chelsea menewaskan Manchester United 1-0 di pentas final, semalam sekali gus menamatkan kempen dengan sebutir kejuaraan.

Tetapi hakikat pahit yang tidak boleh diketepikan adalah kelab dari London yang menjuarai liga pada musim sebelumnya menutup saingan kali ini di tangga kelima dan ketinggalan 30 mata di belakang juara serta terlepas tiket Liga Juara-Juara.

Ketika khabar angin membabitkan Antonio Conte akan meninggalkan kelab itu terus bertiup kencang, bukan rahsia betapa gergasi Sepanyol, Real Madrid berminat untuk mendapatkan khidmat Courtois.

Dan pemain berusia 26 tahun dari Belgium itu ketika ditanya mengenai masa depan bersama The Blues enggan memberi jaminan sama ada dia akan kekal di kelab berkenaan.

“Seperti saya katakan pada minggu atau bulan lalu, saya fikir kami semua akan melihat selepas Piala Dunia sama ada saya adalah pemain Chelsea untuk tahun depan,” kata Courtois. “Kita lihat apa yang akan berlaku selepas Piala Dunia.”

The Blues yang dimiliki jutawan Russia, Roman Abramovich terkenal dengan perbelanjaan mewah sebelum ini tetapi pemilik City, Sheikh Mansour juga mempunyai keupayaan sama dan tidak teragak-agak untuk berbelanja.

Justeru, Courtois yang kontraknya di Chelsea hampir berakhir berkata kelab itu perlu meningkatkan keupayaan pasukan jika mahu menjadi pencabar kejuaraan yang tulen pada musim depan.

“Ya, saya fikir ia perlu,” katanya. “Saya fikir terutama selepas bagaimana kamu melihat City dan (Manchester) United berbelanja. Saya fikir jika kami mahu mensasarkan kedudukan teratas, kami perlu melakukan perkara yang sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 2:04 AM