MOHD Afif Amiruddin. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN pertahanan Pahang, Afif Amiruddin disahkan tidak bersama skuad itu ke Stadium Darul Aman bagi aksi Liga Super bertemu Kedah, Selasa ini, kerana belum pulih daripada kecederaan.

Begitupun nasib pemain tengah, Mohamadoe Sumareh yang turut dibelenggu masalah sama untuk berada dalam kesebelasan utama hanya akan diketahui pada hari perlawanan.

  Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, berdasarkan perkembangan terbaru, beliau tidak dapat membawa Afif ke Alor Setar kerana masih dalam proses pemulihan.

  "Namun, saya boleh sahkan bahawa Sumareh akan bersama pemain lain. Tapi, saya perlu menilai tahap kecederaan kerana kehadirannya dalam pasukan amat diperlukan.

  "Pada masa sama, saya mengharapkan kesebelasan terbaik untuk berdepan Kedah yang pastinya mahu mengutip tiga mata di laman mereka.

  "Ini kerana Kedah dilihat semakin mempamerkan persembahan menyakinkan dalam dua perlawanan terakhir termasuk menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu," katanya.

  Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mahu semua pemain tidak terlalu mengikut rentak permainan lawan bagi mengelak keciciran mata.

  Katanya, kunjungan ke Alor Setar bukan saja menebus kehampaan seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super, malah kembali merekodkan kemenangan.

  "Kekalahan tipis 0-1 kepada Terengganu FC I pada 11 Mei lalu, tidak sepatutnya dialami pasukan. Tapi, kami perlu kembali mengutip mata untuk mengejar pasukan yang berada di tangga teratas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 5:55 PM