PENGURUS Chelsea, Antonio Conte tidak memikirkan soal masa depannya di Stamford Bridge. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte menjelaskan beliau hanya memberi tumpuan untuk memastikan pasukannya menamatkan musim ini dengan trofi menjelang aksi final Piala FA berdepan Manchester United dan enggan mengulas mengenai spekulasi masa depannya di Stamford Bridge.

Kekalahan 0-3 di Newcastle United pada hari terakhir Liga Perdana musim ini menamatkan harapan Chelsea layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Menurut laporan media British, Conte dijangka meninggalkan pasukan berkenaan pada akhir kempen selepas tidak setuju dengan dasar perpindahan kelab.

Ketika ditanya adakah aksi final di Wembley akan menjadi perlawanan terakhirnya bersama Chelsea, Conte berkata: “Saya tidak tahu.

“Sudah tentu saya fikir kami perlu fokus pada perlawanan esok. Bagi kami perlawanan ini sangat penting selepas mengharungi musim yang sukar, untuk menutup musim dengan trofi.

“Ia sentiasa penting untuk pemain, jurulatih, pengurus, peminat kami dan kelab untuk menamatkan musim dengan menjulang trofi.

“Kami memberi tumpuan kepada sasaran ini, kami perlu melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan esok.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 7:06 AM