PENOLONG kapten Negeri Sembilan, Fauzan Dzulkifli dan rakan sepasukan memahami corak latihan jurulatih baharu itu. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PERUBAHAN drastik dari aspek latihan yang dilakukan pengendali baharu Negeri Sembilan, Mario Lemos, tidak memberi masalah buat pemain sebaliknya mereka yakin ia akan memberi impak positif kepada pasukan itu dalam saingan Liga Super. 

Lemos, 34, bekas pengendali pasukan kebangsaan Bangladesh yang berasal dari Portugal mula mengambil alih tugas berkenaan daripada Azraai Khor Abdullah,  Khamis lalu. 

Penolong kapten, Fauzan Dzulkifli berkata, pemain sudah mula serasi dengan corak latihan yang diketengahkan pengendali terbabit dan dapat mengikutinya dengan baik, walaupun hampir seminggu di bawah bimbingannya.

 "Setakat ini, saya tidak nampak ada masalah dengan corak latihan yang dibawa Lemos, sebaliknya semua pemain ceria dan dapat memahaminya dengan mudah, malah semangat serta persefahaman antara kami kekal baik.

 "Pertukaran ketua jurulatih adalah perkara biasa dalam sesebuah pasukan dan sebagai pemain profesional, tumpuan kami adalah memastikan prestasi pasukan meningkat dan kembali mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan. 

"Kami akan sentiasa mematuhi setiap arahan jurulatih dan mahu memastikan segala perubahan yang ingin dibawanya dalam pasukan ini dapat direalisasikan di atas padang," katanya di sini, hari ini.

 Negeri Sembilan menjadi satu-satunya pasukan dalam Liga Malaysia musim ini yang membabitkan pertukaran tiga ketua jurulatih bermula Jorg Steinebrunner dari Jerman pada awal musim sebelum digantikan dengan Azraai pada awal Mac lalu.

 Selepas melalui 10 perlawanan Liga Super, setakat ini skuad Hobin Jang Hobin masih belum menampakkan lagi kemajuan apabila dalam aksi terbaru mereka tewas kepada Kedah, 1-2, di Paroi, Ahad lalu, tujuh kali tewas dalam saingan liga utama tempatan itu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 2:58 PM