MANCINI perlu pulihkan imej skuad Itali. FOTO/AFP
AFP

ROME: Bekas pengurus Manchester City dan Inter Milan Roberto Mancini diberi mandat untuk mengubah nasib skuad Itali, enam bulan selepas pasukan itu gagal layak ke Piala Dunia.

Itali tidak memiliki sebarang jurulatih tetap sejak Gian Piero Ventura dipecat berikutan kegagalan juara dunia empat kali itu mara ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Persekutuan bola sepak Itali mencari jurulatih berprestij untuk membina kembali skuad Azzurri yang tersingkir selepas kekalahan kepada Sweden dalam aksi play-off di San Siro November lalu.

Bekas jurulatih Bayern Munich Carlo Ancelotti dan pengurus Chelsea Antonio Conte turut menjadi sebutan namun Ancelotti dilaporkan menolak tawaran itu.

Mancini menunjukkan minat untuk mengambil alih skuad kebangsaan itu dan bersedia mengorbankan kontrak lumayannya bersama Zenit Saint Petersburg.

Selepas kontrak tiga tahun itu dibatalkan secara rasmi atas persetujuan bersama kelmarin, jurulatih berusia 53 tahun itu segera menuju ke Rome semalam dan menandatangani kontrak baru kemudiannya.

Tugasnya termasuk membentuk dan membawa Itali ke Kejuaraan Eropah 2020 dengan perlawanan pertama kendaliannya adalah aksi persahabatan menentang Aranb Saudi di Switzerland 28 Mei ini.

Pesuruhjaya FA Itali Roberto Fabbricini berkata Mancini menunjukkan ‘keinginan mendalam’ untuk menjadi jurulatih baru Itali.

Sidang akhbar jurulatih berkenaan akan diadakan petang ini di pusat latihan pasukan kebangsaan di Coverciano dekat Florence.

“Ia berlaku seperti yang kita harapkan, kami gembira dan Roberto juga gembira,” kata Fabbricini selepas kontrak itu ditandatangani di Rome.

“Kami akan jelaskan segala-galanya mengenai kontrak itu, beliau gembira dan begitu juga dengan kami.”

Mancini pernah membawa Manchester City menjulang gelaran Inggeris pertama selepas 44 tahun pada 2012, menjuarai tiga gelaran Serie A dengan Inter Milan. Beliau juga menjulang Piala Itali bersama Inter, Fiorentina dan Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 8:08 AM