PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah (kiri) menerima anugerah Kasut Emas daripada Kenny Dalglish selepas berakhir aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton & Hove Albion. FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL memperoleh pemanas badan sempurna menjelang aksi final Liga Juara-Juara susulan kemenangan besar 4-0 ke atas Brighton, semalam ketika penyerangnya, Mohamed Salah turut merobek rekod gol di Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan itu turut mengesahkan tempat Reds dalam kancah elit Eropah itu musim depan apabila menamatkan saingan liga di tangga keempat dengan Salah menutup kempen kali ini dengan 32 gol.

Sebelum perlawanan, Liverpool yang akan bertemu penyandang juara Eropah, Real Madrid pada final Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine hujung bulan ini berdepan senario mungkin tidak layak ke kancah elit itu tetapi kemenangan besar ditambah kekalahan Chelsea menoktahkan kebimbangan itu.

Malah, peledak utamanya Salah juga memperoleh semula rentak jaringan selepas gagal meledak sebarang gol dalam empat perlawanan dengan membuka tirai jaringan Reds pada minit ke-26.

“Saya amat gembira dengan pemain saya, musim yang hampir sempurna,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

“Kami tidak mempunyai peluang untuk mencabar Man City jadi satu-satunya perkara yang boleh dikejar adalah tempat ke Liga Juara-Juara. Ia perkara yang besar.”

Gol sumbangan Salah menentang Brighton juga mengesahkan anugerah Kasut Emas Liga Perdana untuknya musim ini bagi menambah deretan anugerah yang diterimanya termasuk Pemain Terbaik Tahunan.

“Dia menakjubkan,” kata Klopp mengenai Salah. “Saya tidak dapat memikirkan betapa sukarnya jika semua orang memberitahu anda setiap hari betapa bagusnya anda dan bukan itu saja, mereka memberikan anda anugerah Oscar, pelbagai anugerah untuknya.

“Jadi amat sukar untuk kekal fokus tapi dia tetap fokus. Dia kini mempunyai dua minggu sebagai persiapan bagi perlawanan terbesar kami.”

Selain Salah, turut meledak jaringan buat Liverpool adalah Dejan Lovren, Dominic Solanke dan Andy Robertson sekali gus membenarkan Klopp merehatkan bintang Mesir itu pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 11:51 AM