PEMAIN Perak, Mohd Nasir Basharudin (dua, kiri) dikawal tiga pemain Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Perak. FOTO Bernama
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my

 

PERAK gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 0-0 berdepan Melaka United  di Stadium Perak, sebentar tadi. 

Dengan keputusan itu Perak kekal di tangga kedua Liga Super dengan mengutip 20 mata.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang pada awal separuh masa pertama dengan tuan rumah berusaha untuk mendapatkan gol awal. 

Peluang pertama dicipta pada minit ke-16 apabila Perak mendapat sepakan percuma selepas Mohd Nasir Basharuddin dijatuhkan di luar kotak penalti namun sepakan Wander Luiz gagal melepasi benteng pertahanan. 

Pada minit ke-31 percubaan Nor Hakim Hassan pula melewati palang gol lawan.

Melaka United turut berpeluang berada di hadapan apabila tendangan R Gopinanthan hanya sedikit tersasar manakala percubaan Ahmad Fakri Saarani melewati palang pada minit ke-43.

Perak menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan pada minit ke-64 tandukan Leandro Dos Santos ditepis keluar oleh penjaga  gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Walaupun kedua-dua pasukan terus berusaha namun gagal memecah kebuntuan sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 11:38 PM