Pelumba Kawasaki ZX10R, Azlan Shah Kamaruzaman. FOTO Osman Adnan
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


BEKAS pelumba Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman mengungguli sesi kelayakan bagi kelas perdana Superbike 1000cc di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Menunggang jentera Kawasaki ZX10R untuk pasukan Chia PJ Kawasaki Racing Team, Azlan yang juga juara bertahan kelas 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), mencatat masa sepusingan terpantas, 2 minit 9.493 saat.

Selain Azlan, barisan hadapan turut disertai Mohd Ramdan Rosli dari pasukan TOC HKM-TOYO Racing dan pelumba India, Rajini Krishnan (Team RACR).

“Untuk sesi kelayakan hari ini, tentunya saya gembira kerana dapat melakukan catatan masa yang baik,” kata Azlan. “Sudah tentu saya akan cuba memberi saingan sengit dalam perlumbaan nanti terutamanya Ramdan dan juga Rajini.”

Juara bertahan bagi kelas perdana, Mohd Farid Badrul Hisam tidak menyertai pusingan pembuka tirai musim dan dijangka membuat kemunculan pada pusingan kedua, Julai ini.

Dalam kelas Super 250, pelumba Indonesia, Surya Narayana dari pasukan AZ Motor Performance Racing menempah petak pertama dengan catatan, 2’34.204s.

Bakal memberi saingan dari petak kedua ialah Muhammad Amirul Affiq yang mencatat 2’35.412s manakala Zhafir Zarkasha Zamani ketiga, dengan catatan, 2’35.462s.

Pelumba SIC Junior ZK Racing, Mohd Danial Ahmad Shahril yang bakatnya dicungkil daripada program kendalian SIC, Impian ke MotoGP bakal memulakan perlumbaan dari petak keenam dengan catatan, 2’37.983s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 10:06 PM