ANTONIO CONTE
AFP

KETIKA harapan Chelsea untuk layak ke Liga Juara-Juara tampak tipis, situasi membabitkan masa depan pengurusnya, Antonio Conte lebih menjadi topik tumpuan di Stamford Bridge.

Spekulasi mengenai masa depan Conte pada musim keduanya di Chelsea sedang hangat diperkatakan dengan wujud persoalan sama ada ia akan menjadi musim terakhirnya bersama Blues.

Pergeseran pengendali dari Itali itu dengan lembaga pengarah Chelsea susulan kegagalan kelab itu dalam pembelian pemain pada jendela perpindahan tahun lalu turut tidak membantu.

Situasi Chelsea menjelang perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini, esok mudah iaitu menang ke atas Newcastle ditambah kekalahan Liverpool kepada Brighton akan mengesahkan tempat mereka ke Liga Juara-Juara.

Namun andai kemenangan atau seri dilakar Liverpool, juara musim lalu itu terpaksa menerima hakikat untuk sekadar beraksi dalam pertandingan taraf kedua di Liga Europa.

Conte terpaksa mengakui kelebihan tidak memihaknya tetapi menegaskan kelab kendaliannya itu masih berada di posisi lebih baik sebelum ketibaannya susulan pemecatan Jose Mourinho pada musim 2015-16 yang menyaksikan Chelsea menamatkan saingan di tangga ke-10.

“Ada enam pasukan yang bagus pada permulaan musim dan bersedia untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara,” kata Conte.

“Gagal untuk layak ke Liga Juara-Juara boleh berlaku. Sebelum ini, perkara yang sama berlaku.

“Jangan lupakan dua tahun lalu, Chelsea menamatkan saingan di tangga ke-10 dan tidak berada di final Piala FA, tidak di separuh akhir Piala Liga dan mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir oleh PSG dalam Liga Juara-Juara. Ia boleh berlaku.

“Adakah Chelsea berada di tempat yang lebih baik ketika ini? Sudah tentu, kami sudah bekerjasama sejak dua tahun lalu dan bekerja amat keras untuk cuba mencipta sesuatu, untuk mencipta asas.

“Saya perlu bekerja keras dengan pemain saya dan menjadi kerja orang lain untuk melihat, menghakimi situasi, mengambil pertimbangan yang betul selepas dua tahun dan kemudian memahami posisi ketika ini adalah panaroma bola sepak.

“Ketika ini, mungkin kami boleh menamatkan saingan di tangga kelima dan bermula dengan sedikit kelebihan berbanding apabila anda menamatkan saingan di tangga ke-10.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 12:10 PM