THAUVIN jaring gol penyelamat buat Marseille. -Foto AFP
AFP

FLORIAN Thauvin membantu Marseille yang beraksi 10 pemain seri 3-3 di Guingamp awal pagi tadi bagi mencerahkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara dengan berakhir dalam kelompok tiga teratas liga Perancis.

Pasukan yang layak ke final Liga Europa itu kini di belakang pasukan tangga ketiga AS Monaco secara perbezaan gol dan hanya satu mata di belakang pasukan tangga kedua Lyon, yang boleh memastikan tempat ke Liga Juara-Juara jika menang di Strasbourg, malam ini.

Marseille mempunyai dua peluang layak ke pertandingan utama Eropah itu apabila bertemu Atletico Madrid pada final Liga Europa pertengahan minggu depan di Lyon dan jika kalah, peluang mereka sekali lagi pada hari terakhir musim Ligue 1, 19 Mei depan.

Pelawat mendahului 2-0 di Stade de Roudourou dalam tempoh 14 minit pertama menerusi tandukan Valere Germain dan gol ke-25 Thauvin musim ini.

Namun Clement Grenier merapatkan jurang buat Guingamp dan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 selepas Lucas Ocampos dipersalahkan kerana memegang bola.

Guingamp mendahului pada minit ke-70 apabila Jimmy Briand menyempurnakan satu lagi sepakan penalti selepas penjaga gol Steve Mandanda dibuang padang secara kontroversi.

Bagaimanapun Thauvin meledak sekali lagi untuk meraih satu mata dan memastikan perjuangan Marseille untuk tiga tempat teratas akan berlanjutan hingga ke hari terakhir kempen.

“Kami kalah perlawanan ini, kami tidak memenanginya, kami leka dengan gol pertama mereka,” kata jurulatih Marseille, Rudi Garcia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 9:29 AM