FAIZ (dua dari kiri) meraikan gol pertama bersama rakannya di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

SKUAD Terengganu FC (TFC) mengutip tiga mata apabila menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu menebus dua kekalahan berturut-turut dialami mereka sebelum ini.

Pada aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan gagal mempamer persembahan meyakinkan sepanjang tempoh 30 minit permainan.

Hanya pada minit ke-31, skuad Tok Gajah memiliki peluang terbaik menjaringkan gol pendahuluan tetapi dinafikan penjaga gol TFC, Wan Azraie Wan Teh yang menyelamatkan gawang daripada dibolosi menerusi percubaan R Kogileswaran.

Tujuh minit kemudian, TFC hampir meletakkan skuad itu di depan apabila bola hasil sepakan percuma Lee Andrew Tuck terkena tiang sebelah kiri walaupun penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, TFC lebih banyak menguji jentera pertahanan Pahang untuk memastikan jaringan dilakukan.

Usaha itu akhirnya berhasil menerusi Mohd Faiz Mohd Nasir selepas menerima hantaran daripada Tchetche Kipre yang juga kapten pasukan pada minit ke-61.

Pada minit ke-76, pemain pertahanan, Salamon Raj berpeluang menyamakan kedudukan 1-1 tetapi bola terkena palang hasil daripada sepakan percuma.

Akhirnya, tuan rumah terpaksa akur tewas di laman sendiri manakala TFC sudah pasti berbangga selepas mereka tewas 1-3 pada pertemuan pusingan pertama liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 12:54 AM