PEMAIN Manchester United, Romelu Lukaku. FOTO Agensi
AFP

JOSE Mourinho berkata Romelu Lukaku boleh diletakkan untuk final Piala FA di bangku simpanan ketika penyerang Manchester United bertarung untuk pulih daripada kecederaan pergelangan kaki bagi pertembungan di Wembley berdepan Chelsea.

Lukaku tidak bermain buat United sejak mengalami masalah pergelangan kaki berdepan Arsenal bulan lalu dan dijangka akan terlepas perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini menentang Watford Ahad ini.

Kini bintang Belgium itu berdepan kekangan masa untuk pulih bagi final merebut piala pada 19 Mei dengan pengurus United, Mourinho merumuskan Lukaku mungkin hanya cukup cergas bagi diletakkan di bangku simpanan.

“Kami harap dia boleh bermain di final,” kata Mourinho selepas pasukannya seri 0-0 berdepan West Ham awal pagi tadi.

“Dia berada di Belgium untuk menjalani rawatan dan ada komunikasi antara doktor di Belgium dan jabatan perubatan kami.

“Kami hanya menanti untuk melihat jika ada kemungkinan buatnya terbabit di final, jika tidak memulakan permainan sekurang-kurangnya dia berada di bangku simpanan.”

Lukaku sudah menjaringkan 27 gol sejak menyertai United dari Everton dengan nilai 75 juta pound (RM406.90 juta) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 9:14 PM