PEMAIN Negeri Sembilan Mohammad Aiman Mohamad Khalidi (kanan) mengasak pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (dua dari kanan) pada perlawanan lalu.
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


Seremban: Selepas kempunan meraih mata ketika bertemu Johor Darul Ta[zim (JDT) minggu lalu, skuad Negeri Sembilan tidak rela nasib buruk itu berterusan dalam perlawanan menentang Kedah pada aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

Sebaliknya, mereka berharap suatu kebangkitan dapat diterjemahkan pada perlawanan itu dengan memastikan keputusan dapat dicapai bagi mempertahankan maruah pasukan yang kian tercalar kebelakangan ini.

Penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli berkata, dia dan rakan sepasukan tidak akan patah semangat walaupun hasrat untuk mendapatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir liga, masih belum kesampaian.

“Kekalahan besar 0-4 kepada JDT sudah kami lupakan, walaupun ia memeritkan tetapi akur dengan kehebatan pasukan Harimau Selatan itu. Kini fokus diberikan kepada perlawanan menentang Kedah, Ahad ini, yang kami rasakan tetap sukar dan berliku.

“Namun, kami tiada jalan lain kecuali berjuang habis-habisan dengan memastikan kemenangan dapat dicapai kerana sebarang kekalahan boleh memburukkan lagi kedudukan pasukan dalam carta, selain akan memberikan tekanan kepada pemain untuk menghadapi perlawanan berikutnya.

“Justeru, kami perlu manfaatkan sebaik mungkin peluang beraksi di tempat sendiri ini untuk dapatkan tiga mata,” katanya, semalam.

Negeri Sembilan dilihat terus buntu untuk mendapatkan kemenangan apabila tujuh daripada sembilan perlawanan liga yang dilalui pasukan itu sekadar merekodkan dua seri manakala bakinya tewas.

Skuad bimbingan pengendali baru, Mohd Azraai Khor Abdullah, yang memulakan tugas itu awal Mac lalu, dilihat gagal memberikan saingan kepada pencabar lain dan alasan diberikan ialah ketumpulan jentera serangan yang mengakibatkan mereka sukar mendapatkan gol.

Fauzan yang juga bekas kapten PKNS FC berharap perlawanan kali ini akan memihak kepada skuad Hobin Jang Hobin dengan keputusan yang membanggakan, walaupun diketahui Helang Merah bukan calang-calang pasukan yang mudah untuk ditewaskan.

Dia bagaimanapun mengakui tidak mustahil bagi mereka untuk menewaskan Kedah jika setiap pemain dapat memberikan sepenuh komitmen dan mematuhi strategi dirangka Azraai, bagi mendapatkan tiga mata di laman sendiri itu nanti.

“Jika kami terus tewas dalam perlawanan akan datang, sudah tentu akan menyukarkan kami untuk mempertahankan pasukan ini dalam Liga Super pada musim hadapan.

“Oleh itu, saya dan rakan sepasukan tidak boleh menunggu pemain import baru, sebaliknya perlu gunakan kudrat yang ada untuk merealisasikan kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 10:51 AM