PAUL POGBA
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho berharap Paul Pogba akan terus kekal di Manchester United selepas timbul spekulasi terkini mengaitkannya dengan kelab gergasi, Paris Saint-Germain.

Pemain Perancis berusia 25 tahun itu mengalami detik sukar di Old Trafford selepas kerap memanaskan bangku simpanan dan tersisih daripada kesebelasan utama untuk kedua-dua aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Sevilla.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, Pogba ditawarkan oleh ejenya, Mino Raiola ke Etihad bulan lalu dan sejak kebelakangan ini PSG turut ‘dipancing’ untuk membeli pemain tengah itu.

Minggu lalu, Mourinho berkata, tiada peluang penjaga gol, David de Gea yang dipilih pemain terbaik tahunan kelab meninggalkan kelab itu selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Bagaimanapun, Mourinho memberi jawapan lebih meyakinkan ketika ditanya wartawan mengenai Pogba.

"Saya fikir dia akan kekal musim depan,” kata Mourinho. “Itu firasat saya.”

Pogba menyertai Akademi Belia United dari Le Havre pada 2009 dan berpindah ke Juventus pada 2012 dan menyertai semula Red Devils pada 2016 dengan rekod perpindahan kelab £89 juta (RM476j) dan membantu United menjuarai Piala Liga dan Liga Europa dalam musim pertamanya tetapi selepas mengalami beberapa siri kecederaan, hubungannya dengan Mourinho mula dingin.

Pengurus United itu memberi jaminan Pogba tidak akan meninggalkan kelab dengan menegaskan dia mahu pemain itu terus kekal di Old Trafford.

"Saya tak mahu dia angkat kaki. Kelab enggan menjualnya dan kami memberi jaminan tiada mana-mana ejen atau kelab cuba mendekatinya.”

Ketika ditanya mengenai tahap kekuatan mental sesetengah pemainnya, dia berkata ada sesuatu tak kena dalam skuadnya selepas United tewas kepada semua tiga kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana musim ini.

Jumaat lalu, mereka tewas 1-0 di Brighton, kalah dengan jaringan sama di tangan Newcastle pada Februari lalu dan tewas 1-2 kepada Huddersfield 2-1, Oktober tahun lalu.

United kini di tangga kedua liga, berjaya menewaskan semua enam pasukan teratas dalam carta liga sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada pengurus itu mengenai tahap konsistensi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 12:20 PM