CAROLINE WOZNIACKI
Reuters

DUA pemain pilihan, Caroline Wozniacki dan Garbine Muguruza gagal meneruskan kemaraan selepas tersekat di pusingan ketiga Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Caroline yang juga pemain nombor dua dunia tewas mengejut 6-2, 6-2 kepada pemain ranking ke-20, Kiki Bertens sementara juara Wimbledon yang juga pemain ranking ketiga dunia Garbine dikejutkan Daria Kasatkina 6-2, 4-6, 6-3 .

Kiki yang mara ke separuh akhir Terbuka Perancis 2016 menewaskan Caroline, 27, dalam masa sejam sekali gus meraih kemenangan terbesar dalam kariernya dan menafikan harapan lawan untuk merampas ranking nombor satu dari Simona Halep.

Juara Terbuka Australia, Caroline perlu menjuarai Terbuka Madrid untuk merealisasikan hasratnya namun kekalahan itu bermakna pemain Romania itu terus mengekalkan takhtanya.

Kiki pula akan menentang juara lima kali, Maria Sharapova atau Kristina Mladenovic dari Perancis di pusingan kelapan.

Caroline yang beraksi di peringkat 16 terakhir di Terbuka Madrid buat kali pertama gagal menahan asakan keras pemain ranking ke-15, Daria dan tewas dalam masa dua jam 28 minit.

Pemain Russia berusia 21 tahun itu akan menentang pemain Republik Czech, Petra Kvitova yang menewaskan pemain Estonia, Anett Kontaveit 6-7(4) 6-3 6-3.

Pada aksi sebelum itu, Simona mara ke suku akhir menewaskan pemain Republik Czech, Kristyna Pliskova, 6-1, 6-4 . Simona dua kali juara bertahan itu mencatat 20 mata kemenangan dan mematahkan servis Kristyna tiga kali sekali gus melebarkan rekod kemenangan di ibu kota Sepanyol itu kepada 15 perlawanan.

Simona akan menentang kakak kembar Krystyna, Karolina yang mengatasi cabaran pemain Amerika Syarikat, Sloane Stephens 6-2 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 11:35 AM