PENJAGA gol Bayern Munich, Manuel Neuer. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Bayern Munich, Jupp Heynckes menegaskan Manuel Neuer tidak lagi bermain buat kelab itu musim ini ketika penjaga gol itu berdepan keraguan serius mengenai peluangnya beraksi pada Piala Dunia.

“Saya tidak boleh bayangkan pergi ke kejohanan seperti itu tanpa latihan dalam perlawanan,” kata Neuer, semalam.

Neuer, 32, diketepikan kerana patah kaki sejak September lalu dan kesuntukan masa untuk cergas tepat pada masanya bagi perlawanan pembukaan Piala Dunia buat Jerman berdepan Mexico di Moscow pada 17 Jun depan.

Heynckes berkata, tiada peluang buat Neuer untuk bermain dua perlawanan terakhir Bayern musim ini – saingan terakhir Bundesliga di laman sendiri bertemu Stuttgart, Sabtu ini dan final Piala Jerman pada 19 Mei berdepan Eintracht Frankfurt di Berlin.

“Manuel tidak akan bermain menentang Stuttgart dan juga tidak bagi final Piala Jerman,” kata Heynckes kepada akhbar Kicker.

Ia bermakna Neuer hanya boleh bermain dalam dua perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia menentang Austria di Klagenfurt pada 2 Jun dan di laman sendiri bertemu Arab Saudi di Leverkusen pada 8 Jun depan.

Jurulatih Joachim Loew dijangka menyenaraikan Neuer dalam skuad sementara Piala Dunia yang akan dinamakan Selasa depan.

Penjaga gol itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan kecergasan dalam kem latihan selama dua minggu di utara Itali dari 23 Mei hingga 8 Jun depan jika dia mahu mencari peluang bermain di Russia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 7:24 PM