GRIEZMANN (kanan) pernah dijumpai Bartomeu. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mengakui beliau menemui wakil penyerang bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann pada Oktober lalu.

Griezmann memberi petunjuk betapa masa depannya akan ditentukan sebelum kejohanan Piala Dunia di Russia dengan Barcelona pada Januari lalu terpaksa menafikan mereka sudah bersetuju untuk menandatangani pemain Perancis itu.

“Kami mengadakan perbincangan dengan wakilnya, seperti kami lakukan dengan wakil-wakil lain,” kata Bartomeu kepada radio Catalan, Rac1, hari ini.

“Ini berlaku pada Oktober lalu, perjumpaan, tidak lebih daripada itu. Ia tidak sepatutnya membangkitkan spekulasi.”

Griezmann menjaringkan 30 gol dalam 51 perlawanan musim ini dan boleh menamatkan kempen dengan menjuarai Liga Europa apabila Atletico dijadual menentang Marseille di pentas final, bulan ini.

Sebarang perjanjian dengan Barcelona akan meningkatkan spekulasi mengenai masa depan Ousmane Dembele yang mengharungi tempoh sukar pada penampilan sulungnya di Nou Camp.

Dembele menyertai Barca dari kelab Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan 147 juta euro (RM691.66 juta) tahun lalu tetapi Bartomeu bertegas pemain itu tidak akan meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

“Ia tiada dalam perancangan,” kata Bartomeu. “Dembele adalah untuk masa depan dan banyak yang kami jangkakan untuknya bagi beberapa musim berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 12:30 AM