PEMANDU Ferrari, Kimi Raikkonen (kiri) dan Sebastian Vettel. - Foto REUTERS
Agensi

BAKU: Sebastian Vettel menegaskan dia tidak gusar kehilangan kedudukan pendahulu kejuaraan pemandu kepada seteru utama, Lewis Hamilton selepas berakhir Grand Prix Azerbaijan.

Vettel pada mulanya dilihat mampu melakar rekod kemenangan kali ketiga musim ini di Baku, namun dia terlepas kedudukan pendahulu kepada Valtteri Bottas selepas mengekori kereta keselamatan sebelum jatuh di tangga keempat.

Bottas kemudian gagal menamatkan perlumbaan ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan sekali gus menyaksikan Hamilton meraih kemenangan pertama pada musim ini dengan berkelebihan empat mata di tempat teratas.

Vettel bersikap positif selepas menyaksikannya berjaya meraih petak pertama tiga kali berturut-turut sekali gus percaya prestasi cemerlang Ferrari itu mampu memberi cabaran kepada Mercedes dalam apa juga situasi.

"Apa yang paling penting ialah kami mempunyai pakej jentera yang bagus. Kami mempunyai kereta yang cemerlang dalam sesi kelayakan,” kata Vettel.

“Jika kami mampu meletakkan jentera di petak paling depan, maka kami mempunyai peluang besar untuk memenangi perlumbaan.

 "Saya tak risau langsung kerana ia jauh berbeza berbanding tahun lalu apabila kami tidak kompetitif di hampir semua sesi kelayakan.

 "Kadang-kadang di hari perlumbaan, ada pemandu yang melalui hari yang baik dan sebaliknya. Begitu juga yang berlaku kepada Bottas dan inilah lumrah perlumbaan." 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:19 PM