PEMAIN legenda Chelsea, Frank Lampard. FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN legenda Chelsea, Frank Lampard sedia beralih ke bidang pengurusan ketika beliau masih menunggu tawaran yang tepat, kata bekas pemain berusia 39 tahun itu.

Lampard baru saja menamatkan kelayakan kejurulatihan di Stamford Bridge dan dikaitkan dengan pasukan Liga Kejuaraan, Ipswich Town oleh media Britain.

“Saya banyak menghabiskan masa di Chelsea tahun ini dan cuba mengumpul sebanyak mungkin pengalaman melatih pasukan,” kata Lampard.

“Saya sudah berjaya mendapat lesen A jurulatih. Jadi dengan peluang dan waktu yang tepat, saya akan menilai semula peluang ini.

“Anda pasti mahu kembali berbakti, cuba membentuk pemain muda dan membantu meningkatkan taktikal mereka dan melihat sama ada mampu menjadi pengurus yang bagus.”

Lampard, yang membuat 106 penampilan bersama England antara 1999 hingga 2014, pernah menjulang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Beliau turut menggesa lebih ramai pemain England untuk berkecimpung dalam kejurulatihan dan menyatakan sokongan kepada Steven Gerrard untuk memenuhi potensinya.

Gerrard, yang kini menjadi tenaga jurulatih akademi Liverpool sejak bersara pada 2016, mengesahkan sudah berunding dengan kelab Scotland, Glasgow Rangers.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 11:38 PM