PEMAIN boling negara, Muhd Rafiq Ismail. FOTO Danial Saad
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


JAGUH bowling negara, Rafiq Ismail akan mencipta sejarah muncul pemain pertama dari Malaysia beraksi dalam kempen berprestij Terbuka Amerika Syarikat, Oktober depan.

Pemain berusia 21 tahun itu menerima jemputan Kongres Bowling Amerika Syarikat (USBC) untuk menjadi sebahagian daripada 144 pemain yang akan bertarung di Northrock Lanes di Wichita, Kansas.

Ia satu pengiktirafan besar apatah lagi Rafiq dipilih sendiri oleh USBC susulan penampilan sulung cemerlang dalam Jelajah Persatuan Bowling AS (PBA) tahun lalu, yang mana dia menamatkan saingan dalam kelompok 30 terbaik daripada 195 pemain.

Malah, Rafiq turut merakam pencapaian hebat apabila disenaraikan dalam barisan lima pemain terbaik bagi pertembungan antara Pasukan AS menentang Pasukan Terbaik Dunia.

Ketua jurulatih negara, Holloway Cheah menyuarakan rasa gembiranya, dengan mengakui bangga untuk melihat Rafiq mula mencipta nama dalam sirkit AS.

“Ia penghormatan besar dan saat membanggakan bukan saja buat Rafiq tapi untuk seluruh warga bowling Malaysia.

“Ia julung kali buat mana-mana pemain Malaysia beraksi dalam Terbuka AS.

“Persembahan cemerlang Rafiq di AS tahun lalu pastinya memikat orang sana. Terbuka AS menjadi antara kejohanan paling sukar, kerana format pertandingannya yang panjang dan keadaan minyak di gelanggangnya yang sedikit berlainan.

“Jadi, kami pastinya berasa teruja untuk melihat bagaimana Rafiq menyesuaikan diri dengan keadaan itu,” kata Holloway yang memainkan peranan besar dalam mengasah bakat Rafiq sejak dibawa masuk ke dalam sistem latihan Kongres Bowling Tenpin Malaysia (MTBC) pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 11:10 PM