JURGEN Klopp kagum dengan wira-wira Liverpool yang menempah tiket ke final Liga Juara-Juara. FOTO EPA-EFE
AFP

JURGEN Klopp kagum dengan wira-wira Liverpool selepas mereka berjaya mengharungi perlawanan separuh akhir menentang Roma untuk menempah tiket ke final Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid.

Skuad kendalian Klopp menang 7-6 secara agregat walaupun tewas 2-4 pada aksi timbal balik di Rome awal pagi tadi.

Liverpool menguasai keadaan apabila mendahului 2-1, tetapi Roma bangkit meledak tiga gol selepas rehat dengan gol terakhir mereka adalah sepakan terakhir permainan yang mencatat rekod baru Liga Juara-Juara.

Ia adalah separuh akhir dengan jaringan tertinggi dalam era Liga Juara-Juara dan pengendali Liverpool itu mengakui situasi berkenaan terlalu dramatik buatnya.

“Ia sangat gila. Saya lupa berapa jaringannya! 7-6 bukan? Sukar dipercayai!” kata Klopp.

“Permainan itu di luar kawalan. Mereka mengambil risiko dan kami menghukumnya dengan serangan balas tetapi kemudian memberikan gol.

“Kami terlalu bersabar. Biasanya kami lebih baik, anda tahu ini. Ia adalah separuh akhir pertama untuk kebanyakan pemain jadi memang normal jika mereka berhati-hati.

“Ia amat menarik, lebih menarik daripada yang saya mahukan.”

Walaupun Klopp mengharapkan perlawanan yang kurang mendebarkan, beliau lega berjaya merebut tempat di final hasil kemenangan 5-2 pada pertemuan pertama.

“Kami berhak ke final. Anda tidak datang tanpa tuah. Kami hanya memerlukannya sekali malam ini. Real Madrid juga memerlukan tuah semalam. Itulah keadaannya,” katanya.

Sepanjang karier sebagai pengendali, Klopp tewas lima kali di pentas final, termasuk kekalahan Liga Juara-Juara 2013 di tangan Bayern Munich ketika membimbing Borussia Dortmund.

Selepas berpindah ke Liverpool, beliau tewas di final Liga Europa 2016 kepada Sevilla, hanya beberapa minggu selepas tewas pada final Piala Liga di tangan Manchester City.

Satu-satunya kejayaan Klopp di pentas final ialah ketika memenangi Piala Jerman 2012 bersama Dortmund.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 8:08 AM