PEMAIN Liverpool meraikan kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara selepas menewaskan AS Roma dengan agregat 7-6 di Stadium Olimpik. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL menempah tiket final Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid selepas menyingkirkan AS Roma 7-6 secara agregat di peringkat separuh akhir meskipun tumbang pada aksi timbal balik kedua di Stadium Olimpik, sebentar tadi.

Selepas meraih kemenangan 5-2 pada aksi pertama di Anfield, minggu lalu, kekalahan 2-4 di gelanggang lawan tidak menghalang Liverpool yang juga juara Eropah lima kali ke pentas final pertama mereka sejak 2007.

Skuad kendalian Jurgen Klopp memperoleh permulaan yang baik apabila mendahului perlawanan pada minit kesembilan menerusi jaringan Sadio Mane.

Tetapi, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan enam minit kemudian apabila James Milner secara tidak sengaja menampan gol ke gawang sendiri sebelum Georginio Wijnaldum mengembalikan kelebihan The Reds pada minit ke-25.

Memerlukan empat gol untuk memaksa perlawanan diheret ke tambahan masa, Roma menggandakan tekanan pada babak kedua dan ia jelas berjaya mencemaskan pelawat.

Begitupun, kelab Itali itu gagal untuk mengulangi kebangkitan terhebat ketika menyingkirkan Barcelona di peringkat suku akhir sebelum ini.

Selepas Edin Dzeko menyamakan kedudukan pada minit ke-52, Radja Nainggolan yang melakukan kesilapan membawa kepada gol pembukaan Liverpool meledak dua gol termasuk penalti di masa kecederaan.

Nainggolan menyumbat gol pertamanya di pentas Eropah musim ini pada minit ke-86 sebelum menyempurnakan penalti pada masa kecederaan selepas pertahanan Liverpool, Ragnar Klavan didapati menyentuh bola di kawasan penalti.

Liverpool akan bertemu penyandang juara, Real yang dijadual berlangsung di Stadium Olimpik Kiev, Ukraine pada 26 Mei ini.

Perlawanan itu mengulangi aksi final pada 1981 yang dimenangi Liverpool 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 5:45 AM