DHAARMA (tengah) ketika sesi latihan sebelum ke Donghae.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Elemen kejutan dijangka berlaku dalam senarai akhir 18 pemain skuad hoki wanita negara yang bakal beraksi di Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan bermula 13 Mei ini.

Bayangan itu diberikan oleh ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang mengakui mahu memberi ruang kepada barisan muda mewakili skuad negara kali ini dengan terpaksa mengetepikan beberapa pemain senior.

Tidak memberikan gambaran jelas nama bagi setiap pemain berkenaan, Dhaarma bagaimanapun berkata, antara muka baru yang bakal diberi peluang itu adalah barisan pemain bawah 18 tahun negara yang berjaya mendapat tempat ketiga di saingan kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Remaja 2018 Argentina di Bangkok, minggu lalu.

“Saya melihat aksi mereka di setiap perlawanan dan ada antaranya yang benar-benar memikat hati saya.

“Sebab itu saya ada memilih antara mereka untuk disenaraikan ke dalam skuad bagi menghadapi Trofi Juara-Juara Asia. Saya rasa mereka wajar diberikan peluang,” katanya yang mempunyai masa sehingga hari ini untuk memutuskan senarai terbaik ke Donghae.

Jelas Dhaarma lagi, alasan utama beliau mahu memberi peluang kepada muka baru adalah kerana mahukan kelompok pilihan pemain yang lebih banyak.

“Untuk Trofi Juara-Juara Asia serta Pusingan Pertama Liga Hoki Dunia di Singapura, kemungkinan saya akan memberi peluang kepada pemain-pemain baru.

“Saya mahu mempunyai pilihan pemain yang lebih banyak supaya saingan di dalam pasukan lebih kompetitif terutamanya bagi merebut tempat ke Sukan Asia di Indonesia,” katanya.

Selain Malaysia dan Korea, India, China serta Jepun turut beraksi pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 9:49 AM