KEADAAN Hafizh ketika insiden berlaku. -Foto FB Hafizh Syahrin
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjelaskan tidak mengalami  kecederaan serius ketika terjatuh menjalani latihan berbasikal di Barcelona, Sepanyol semalam dan akan terus memberi 100 peratus tumpuan menjelang Grand Prix (GP) Espana, minggu ini.

Hafizh terjatuh ketika sedang mengayuh basikal bersama rakan pasukan Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin, Ayumu Sasaki dan pelatih di sana, Aleix Santacreu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, ketika insiden malang itu Hafizh dikatakan sedang berada pada kelajuan 63 kilometer sejam (km/j) sebelum terjatuh.

“Alhamdulillah OK, cuma luka di bahagian siku dan sedikit luka serta lebam di bahagian pinggul,” kata Hafizh. 

“Saya cuba untuk mengeringkan luka ini dengan secepat mungkin untuk menunggang di Jerez nanti.

“Saya akan tetap berlumba di Jerez tetapi kena sembuh dengan pantas supaya lebih selesa ketika menunggang. Tiada apa yang serius dan buat masa ini, cuma memerlukan masa untuk sembuh saja.”

Sirkit Jerez akan menjadi lokasi bagi pusingan keempat musim 2018 dengan pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu sudah mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga ke-13 keseluruhan kelas perdana selepas tiga perlumbaan.

Setakat ini, Hafizh juga sedang mengungguli carta muka baharu dalam kelas MotoGP, mendahului pencabarnya dari Itali, Franco Morbidelli dengan kelebihan tiga mata.

Takaaki Nakagami dari Jepun berada di tangga ketiga dalam carta berkenaan dengan lima mata.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 5:19 PM