ABDUL AZIM MOHD ZABIDI
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


PENGERUSI Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yakin perwakilan akan memilih calon yang benar-benar layak menjawat jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, Sabtu ini.

Malah, beliau tidak bimbang sekalipun Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan sokongan terbuka kepada pencabarnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Azim berkata, terpulang kepada perwakilan membuat keputusan dan menyifatkan ia pertandingan ‘anak-beranak’.

“Saya adalah ketua kontinjen ke Sukan Asia, manakala Datuk Megat adalah timbalan saya nanti. Apa saja kempen harus bersih dan tertib supaya tiada iri hati, perselisihan faham di kemudian hari kerana apa yang penting semuanya untuk sukan negara,” katanya.

Andai dikira pengalaman dan pembabitan, Azim antara ‘orang lama’ dalam Persatuan Kriket Malaysia selain turut pernah bersama dalam Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU).

Beliau mempunyai kemampuan dalam urus takbir mengenai pentadbiran dan ia salah satu faktor utama terpilih mengendalikan ISN.

Katanya, pengalaman yang luas itulah yang ingin dibawanya ke dalam MOM agar kesinambungan itu berterusan.

Sementara itu, Azim turut menafikan khabar angin yang mengatakan wujudnya Kem A dan Kem B.

“Ya memang ada ada dengar. Tapi itu semua cerita palsu. MOM bukan parti politik. Ini adalah sukan. Jika perkara ini wujud ia adalah salah.

“Pilih tokoh yang berpengalaman dan kebolehan selain mempunyai masa untuk sukan dan MOM. Jika perwakilan memilih wakil yang ‘yes man’ maka ia akan bawa kebinasaan. Kapal karam sebab masalah dari dalam bukan dari luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:20 PM