DZEKO yang digelar permata di Bosnia menjadi harapan Roma untuk mencipta kebangkitan ke atas Liverpool pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini. - FOTO Reuters
AFP

SARAJEVO: Penyokong AS Roma mungkin berpendapat peluang kelab itu mengatasi defisit tiga gol di Liga Juara-Juara begitu tipis, namun bagi penyokong Edin Dzeko dari Bosnia, mereka yakin wira mereka mampu mengatasi halangan itu.

Di Bosnia, penyerang Roma, Dzeko turut dikenali sebagai ‘Dijamant’ atau permata.

“Orang ramai menyukainya kerana dia membuktikan bahawa tidak mustahil untuk berjaya biarpun dari negara seperti ini kerana dia sentiasa ada di sana dengan hati dan jiwanya,” kata rakannya Jasmin Ligata, 32.

Dzeko antara anak mangsa perang di Sarajevo.

Sehari selepas menjaringkan gol dianggap gol penting di tempat lawan ke atas Barcelona dalam aksi suku akhir, Dzeko menulis di Facebook, bukan mengenai perlawanan itu, tetapi ulang tahun permulaan kampung halamannya dikepung bermula pada 5 April 1992 ketika dia baru berusia enam tahun.

Kepungan itu berlangsung selama hampir empat tahun.

“Di bandar apabila anda tidak tahu sama ada akan melihat teman baik anda esok, sama ada anda akan mendakap bapa atau ibu anda lagi, sama ada anda akan membuka mata atau mungkin bermain dengan rakan anda, saya menghabiskan setiap hari selama 1,425 hari dalam kepungan,” kata Dzeko.

Hujan bom, penembak curi tidak mengira mangsa.

Daripada 11,000 kematian, di antara 1,500 hingga 1,600 adalah kanak-kanak.

“Saya bernasib baik dan terselamat manakala ramai rakan saya cedera atau tidak lagi bersama mereka. Saya tujukan gol saya ke atas Barcelona dalam Liga Juara-Juara sebagai ingatan kepada mereka,” katanya.

Ligata yang juga penasihat media sukan Bosnia turut mengakui Dzeko ditakdirkan untuk ‘detik yang menakjubkan’.

Selepas kebangkitan Roma ke atas Barcelona pada aksi suku akhir awal April lalu, kelab Itali itu dijangka melakukan kejutan di Stadio Olimpico, awal pagi Khamis biarpun ketinggalan tiga gol secara agregat kepada Liverpool.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield minggu lalu, Roma ketinggalan 2-5, namun dua gol di tempat lawan itu mungkin bermakna buat mereka meneruskan laluan ke final di Kiev.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:35 AM