MEGAT Zulkarnain
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin percaya pengalaman luas Datuk Megat Zulkarnain Omardin menjadikan beliau tokoh paling layak untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada sesi pemilihan, Sabtu ini.

Hamidin yang membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan itu kerana mahu memberi tumpuan bersama FAM berkata, Megat yang juga Naib Presiden MOM mampu membantu presiden baru, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam pentadbiran organisasi yang memayungi persatuan sukan kebangsaan itu.

“Berdasarkan pencalonan, Datuk Megat akan menghadapi pertandingan satu lawan satu bagi pemilihan jawatan berkenaan dan saya ingin menyatakan pendirian saya dan FAM untuk menyokong sepenuhnya beliau bagi memenangi jawatan Timbalan Presiden MOM itu.

“Ini kerana Datuk Megat memang layak menduduki jawatan berkenaan kerana beliau salah seorang Naib Presiden MOM ketika ini dan sudah tentu memahami sistem dan organisasi MOM, sekali gus calon paling sesuai untuk menjadi orang nombor dua,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas pengumuman calon Selasa lalu, Norza tidak dicabar bakal diumumkan sebagai presiden baru MOM pada 5 Mei ini, manakala kerusi timbalan presiden bakal ditentukan oleh Megat dan pencabarnya, Datuk Seri Azim Mohd Zabidi yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Megat mendapat tiga pencalonan daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), manakala Azim turut mendapat tiga pencalonan.

Hamidin yang bakal diumumkan sebagai presiden baru FAM apabila mendapat sokongan padu ahli gabungan menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai depan berkata, pengalaman luas Megat bersama PESAKA memberi kelebihan untuknya memikul tanggungjawab bersama MOM.

“Datuk Megat sudah lama menjadi Setiausaha Agung PESAKA dan tentunya beliau memiliki tokoh kepimpinan yang baik, kredibiliti serta cukup berpengalaman dalam menguruskan persatuan sukan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 9:05 AM