TRAORE (kanan) ledak gol penyamaan Angers. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Gol penyamaan lewat Ismael Traore menyekat usaha Marseille ke Liga Juara-Juara musim depan ketika gergasi dari selatan itu diikat 1-1 berdepan Angers awal pagi tadi.

Marseille berkunjung ke barat dengan harapan akan ke kelompok tiga terbaik Ligue 1 selepas Monaco seri tanpa jaringan di laman sendiri berdepan Amiens kelmarin ketika Lyon mengambil alih kedudukan kedua dengan menewaskan Nantes.

Paris Saint-Germain, yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 berdepan Guingamp sebentar tadi meraih gelaran liga berbaki banyak perlawanan dua minggu lalu.

Atas kertas, tiga mata tampak boleh dikutip Marseille.

Jurulatih Rudi Garcia tampak percaya ketika dia meletakkan Dimitri Payet dan Kostas Mitroglou di bangku simpanan menjelang pertemuan separuh akhir Liga Europa awal pagi Khamis ini bagi perlawanan kedua di Salzburg.

Walaupun mendapat penalti pada minit ketiga daripada Florian Thauvin, Angers akhirnya kembali menyamakan kedudukan hasil tandukan Traore daripada hantaran sepakan percuma pada minit ke-79.

Marseille kekal di tangga keempat, satu mata di belakang Monaco di tempat ketiga yang juga kedudukan terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Namun Garcia kekal yakin Marseille akan menepati sasaran mereka ke Eropah.

“Kami mencicirkan dua mata, yang juga satu penyesalan kerana kami menghampiri penamat musim,” katanya.

“Namun kami masih ada tiga perlawanan dan Monaco juga mencicirkan mata. Ia masih belum berakhir.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 5:40 AM