PEMAIN City (jersi biru) meraikan kemenangan selepas menyamai jumlah rekod kemenangan Chelsea musim lalu. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Manchester City menyamai rekod Liga Perdana Inggeris dengan mencatat kemenangan paling banyak dalam satu musim selepas menewaskan West Ham United 4-1, sebentar tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola merekodkan 30 kemenangan musim ini, menyamai rekod dilakukan Chelsea musim lalu dan akan mengatasinya jika menang dalam satu daripada baki tiga perlawanan terakhir selepas ini.

City hanya memerlukan 13 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Leroy Sane sebelum tonggak pertahanan West Ham, Pablo Zabaleta menjaringkan gol sendiri bagi meletakkan kelab itu selesa di depan dengan 2-0.

Bagaimanapun, sepakan percuma diambil Aaron Cresswell membolehkan West Ham merapatkan jurang pada minit ke-42 tetapi Gabriel Jesus dan Fernandinho melengkapkan kemenangan bergaya City apabila masing-masing meledak satu gol pada babak kedua perlawanan.

Hampir tidak dapat ditewaskan musim ini, City kini dalam misi bagi mengukuhkan status mereka sebagai kelab Liga Perdana Inggeris terhebat sepanjang zaman dengan mencatatkan rekod baharu.

Mereka sudah meledak 102 gol dalam 35 perlawanan liga sekali gus menjadikan mereka kelab utama paling pantas meraih pencapaian berkenaan sejak dilakukan Everton pada musim 1931/1932.

City hanya kekurangan satu gol untuk menyamai rekod gol terbanyak Liga Perdana Inggeris yang dipegang Chelsea dengan 103 gol pada musim 2004/2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 11:57 PM