MARADONA tinggalkan Al Fujairah. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Diego Maradona meletak jawatan selaku jurulatih kelab divisyen dua Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Fujairah hari ini selepas pasukannya gagal naik taraf, kata peguamnya, Matias Morla.

Legenda Argentina, Maradona yang juga pemenang Piala Dunia dan bintang bola sepak paling dikenali, berkata dia meletak jawatan selepas pasukannya seri 1-1 berdepan Khorfakkan.

“Selepas perlawanan hari ini dan gagal mencapai objektif layak ke divisyen utama, Diego Maradona tidak akan lagi menjadi jurulatih pasukan,” kata Moria.

Peguam itu menegaskan keputusan itu adalah “perjanjian dipersetujui bersama” dengan kelab dan dia mengucapkan ‘yang terbaik’ buat Al Fujairah.

Maradona, 57, dilantik sebagai jurulatih pada Mei tahun lalu dengan sasaran untuk membawa kembali Al Fujairah ke liga utama selepas dua tahun tersisih.

Bagaimanapun keputusan hari ini bermakna pasukan itu tidak mampu meletakkan kedudukan lebih tinggi daripada ketiga liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 5:43 AM