JUN Hoong (kanan) dan Pandelela sandaran raih pingat di Kejohanan Terjun Siri Dunia.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Penerjun wanita negara kembali beraksi di pentas Kejohanan Terjun Siri Dunia yang ketiga di Montrael, Kanada dalam misi memburu pingat dan cuba meruntuhkan keegoan penerjun China.

Pingat emas yang diraih pasangan Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini menerusi acara 10 meter (m) seirama seharusnya mampu memberi tonik berharga buat gandingan itu dalam usaha memburu kejayaan seterusnya.

Bagaimanapun, Kejohanan Terjun Siri Dunia menawarkan cabaran dan saingan berbeza.

Penerjun China pasti akan terus menawan kolam renang menerusi gandingan penerjun muda mereka Zhang Jiaqi-Zhang Minjie yang sebelum ini sudah meraih dua emas berturut-turut iaitu ketika siri satu di Beijing dan siri dua di Jepun.

Ia memberi gambaran awal betapa pasangan muda dari negara Tembok Besar itu perlu diberi perhatian menjelang temasya Sukan Asia di Indonesia-Palembang Ogos depan.

Bagaimanapun, ia bukan misi mustahil buat gandingan negara mempamerkan terjunan konsisten bagi membawa pulang pingat selepas cemerlang meraih perak ketika di Beijing dan gangsa di Fuji, Jepun dalam acara yang sama.

Selain saingan penerjun China, kehadiran penerjun tuan rumah, Meaghan Benfeito-Caeli McKay juga perlu diberi perhatian.

Kecemerlangan Jun Hoong dan Pandelela diharapkan dapat dituruti dua lagi penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee akan turun beraksi dalam acara 3m seirama.

Keempat-empat penerjun negara itu bakal beraksi awal pagi ini dalam acara seirama.

Perbezaan waktu selama 12 jam diharapkan tidak akan mengganggu aksi mereka.

“Jam tangan, telefon dan komputer riba semua menunjukkan masa yang berlainan, dan anda tidak tahu siapa yang harus percaya. Badan anda, tentu saja, tidak membantu,” tweet Pandelela sejurus tiba di Montreal, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 2:59 AM