THAUVIN (kanan) jaring gol pembukaan buat Marseille. -Foto AFP

MARSEILLE: Jaringan Florian Thauvin dan pemain gantian Clinton Njie memberikan kemenangan Marseille 2-0 ke atas Salzburg dalam aksi pertama separuh akhir Liga Europa awal pagi tadi, sekali gus menghidupkan impian kelab Perancis itu mengecapi kejayaan di pentas Eropah.

Dimitri Payet membantu kedua-dua jaringan buat Marseille di laman Velodrome, ketika 62,000 penonton yang menyaksikan jaringan awal Thauvin sangsi sama ada bola terkena tangannya ketika melakukan jaringan itu.

Pemain Cameroon Njie menjadikan kedudukan 2-0 kurang daripada tiga minit selepas diturunkan sebagai pemain simpanan untuk meletakkan Marseille di depan menjelang aksi timbal balik di Austria minggu depan.

“Ia keputusan yang baik. Kami mahu menang dan ia berjaya dilakukan. Kejayaan melakukannya tanpa bolos sesuatu yang menarik,” kata jurulatih Marseille Rudi Garcia.

“Kami sedar kami masih belum selamat. Kami perlu ke sana untuk menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dan menang perlawanan. 

“Kami perlu buktikan bahawa kami berhak untuk ke final.”

Marseille terdesak untuk mara ke final yang akan diadakan di Perancis, di laman seteru utama mereka Lyon pada 16 Mei ini.

Mereka berhasrat memburu gelaran Eropah kedua, suku abad lamanya selepas kejayaan mereka pada edisi sulung Liga Juara-Juara pada 1993. - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 10:16 AM