SEBASTIAN VETTEL
AFP

BAKU, Azerbaijan: Pendahulu Formula Satu, Sebastian Vettel kembali ke litar yang mencetuskan konflik pergaduhannya dengan Lewis Hamilton pada Grand Prix Azerbaijan, hujung minggu ini.

Setahun selepas pertarungan ‘nyawa’ yang menyaksikan pemandu Ferrari itu berlaga dengan Hamilton selepas mendakwa pelumba Mercedes itu sengaja menekan brek, Vettel kini memiliki kelebihan sembilan mata ke atas pencabarnya itu.

Hamilton dan Mercedes masih mencari kemenangan selepas tiga perlumbaan tahun ini dan berdasarkan prestasi semasa tampak sukar untuk mereka mempertahankan gelaran pemandu dan pengeluar terbaik daripada dirampas Ferrari mahupun Red Bull.

Vettel dan pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo setakat ini sudah melakar kemenangan ketika Hamilton belum menampakkan taring sebenarnya terutamanya di China dua minggu lalu.

Bekas rakan sepasukan Mercedes dan juara dunia 2016, Nico Rosberg bagaimanapun percaya juara dunia empat kali itu akan bangkit lebih pantas daripada biasa.

“Apabila dia kembali, dia akan kembali dengan lebih laju hingga sukar ditumbangkan - jadi kita lihat apa yang berlaku selepas ini.”

Keyakinannya terhadap Hamilton dikuatkan lagi dengan hujah bos Mercedes, Toto Wolff minggu ini yang berasakan pemandunya itu berada di bawah tahap sebenar di Shanghai.

“Mungkin kerana keadaan jentera,” kata Wolff.

“Dia adalah pemandu terbaik, itu pandangan saya dan antara yang terbaik walaupun tidak berada pada 100 peratus.

“Amat malang untuk anda memiliki jentera yang tidak mencapai prestasi terbaik - dan tayar tidak seperti diharapkan - dan strategi yang tidak menjadi, dengan semuanya seakan tidak menyebelahi anda.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:50 PM