NEIL WARNOCK
AFP

PELUANG Cardiff City untuk kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) secara automatik menerima tamparan apabila tewas 1-3 kepada Derby County pada aksi penting Liga Kejuaraan, awal pagi tadi.

Cardiff yang dikendalikan Neil Warnock berpeluang untuk menjarakkan kedudukan kepada empat mata di depan Fulham yang menghuni tangga ketiga jika menang di Pride Park. 

Begitupun, sebaliknya berlaku dan berbaki dua perlawanan saja pada musim ini, skuad yang diberi jolokan Bluebirds itu perlu memastikan mata maksimum jika mahu menyertai Wolves yang sudah pun layak lebih awal.

Kemenangan pula menyaksikan Derby menghidupkan peluang untuk mengisi slot playoff ke EPL dan menghuni tangga keenam liga.

Pada aksi di gelanggang lawan itu, Cardiff tampak berada di laluan untuk mengutip tiga mata penuh selepas Callum Paterson meletakkan pelawat di depan pada babak pertama.

Begitupun, kesilapan di bahagian pertahanan membenarkan Cameron Jerome untuk menjaringkan dua gol sebelum jaringan Matej Vydra pada penghujung permainan menamatkan deretan tiga kekalahan berturut-turut buat Derby.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, kelab yang menghuni tangga tiga tercorot Barnsley terus berdepan masalah apabila tewas 0-3 kepada Nottingham Forest.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 7:43 AM