POGBA akui tiada sebarang masalah dengan pengendali United itu. -Foto REUTERS
AFP

PARIS: Paul Pogba menegaskan semalam dia tiada masalah dengan bos Manchester United, Jose Mourinho walaupun mengalami musim sukar yang menyaksikan bintang Perancis itu digugurkan beberapa kali.

Pogba, yang dikaitkan dengan perpindahan pada musim panas keluar dari Old Trafford, berkata dia sentiasa menerima keputusan Mourinho dan apa yang boleh dilakukannya ialah meningkat dengan lebih bagus di atas padang.

“Saya tiada masalah dengan Mourinho,” kata Pogba kepada Canal+.

“Saya juga percaya dia tiada masalah dengan saya. Dia ialah jurulatih, dia membuat keputusan. Saya ialah pemain, saya menerimanya dan perlu membalas di atas padang, itu saja.”

Pemain tengah itu mendedahkan Mourinho tidak pernah mendedahkan kenapa dia digugurkan atau diletakkan selaku simpanan.

“Tidak, ia terpulang kepada jurulatih. Ada sebahagian mereka yang suka bercakap dengan pemain. Mourinho, apabila dia membuat pilihan, anda perlu menerimanya.”

Pogba keluar dan masuk dalam pasukan United ketika Mourinho cuba mengejar pencabar utama, Manchester City, yang akhirnya meraih gelaran Liga Perdana.

Tumpuan terarah kepada Pogba apabila dia memulakan kedua-dua saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Sevilla di bangku simpanan dan tidak mampu membantu ketika United disingkirkan apabila dimasukkan.

Dia kemudian dikritik kerana persembahan buruk apabila tewas 1-0 di laman sendiri kepada West Bromwich Albion yang memberikan gelaran buat City – perkembangan terkini musim penuh kekecewaan daripada bintang Juventus itu sejak berhijrah ke United dua tahun lalu.

Ada juga khabar angin Mourinho memberitahu pengurusan United untuk menjual Pogba, hanya sehari selepas pengurus City, Pep Guardiola berkata dia ditawarkan peluang untuk mendapatkan pemain tengah itu oleh ejen pada Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 10:47 AM