NORZA ZAKARIA
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


CALON pilihan bagi jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria enggan membuat sebarang spekulasi mengenai pemilihan badan induk itu menjelang tarikh tutup pencalonan, Selasa ini.

Norza yang dijangka bakal menduduki kerusi nombor satu MOM tanpa dicabar menyatakan apa saja boleh terjadi dan masih terlalu awal untuk beliau memberi sebarang komen.

“Seperti yang anda sendiri tahu, tarikh tutup pencalonan adalah jam 5 petang, Selasa ini. Sesiapa saja yang berkhidmat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) boleh bertanding dalam pemilihan itu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi jadi kita tunggu sehingga tarikh tutup pencalonan itu nanti,” katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Norza ditemui pada perlawanan akhir Kejohanan Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia di Stadium Juara yang turut dihadiri Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini.

“Lebih baik kamu semua datang hari Selasa nanti kerana ketika itu saya boleh memberi kenyataan. Tiada apa yang boleh dikatakan buat masa ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebarangkalian individu yang bakal menjadi timbalan presidennya.

Buat masa ini, tiada persaingan dapat disaksikan bagi jawatan nombor satu di MOM itu yang kosong selepas presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja'afar membuat keputusan meninggalkan badan induk itu.

Bagaimanapun, difahamkan, jawatan bagi timbalan presiden bagi menyaksikan perebutan antara Pengerusi Institut Sains Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ; Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selain dikhabarkan ia bakal menjadi saingan tiga penjuru sekiranya Naib Presiden MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib turut bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 9:59 PM